Thursday 18 December 2014

yang berjiwa besar .

bismillah.

untuk bahan kelas bahasa arab semalam, ustaz guna satu teks -- dialog antara Abu Bakar As Siddiq dan 'Umar. dan. entah kenapa, jadi sangat terkesan dengan ceritanya.


Abu Bakar di saat sakitnya, yang berlegar di kepalanya, ternyata perkara yang besar-besar -- tentang siapa penggantinya, tentang siapa yang akan memimpin muslimin seterusnya.

betapa saat sakitnya, dia masih memikirkan hal kaum muslimin setelah pemergian dia. betapa yang dia fikirkan adalah bagaimana mahu terus menggerak, mengalirkan islam agar tetap terlaksana.

betapa besar jiwanya, fikirannya. saat dia terasa masanya sudah makin hampir, justeru yang dia fikirkan bukan dirinya, tetapi islam dan kaum muslimin seluruhnya.


dan saat abu bakar menyampaikan hasratnya kepada 'Umar,
"aku ingin melantikmu sebagai khalifah, wahai 'Umar."

dengan penuh kesungguhan, 'Umar menolak.
"kasihanilah aku, wahai abu bakar. sesungguhnya aku bimbangkan diriku, aku bimbangkan agamaku, aku bimbangkan akhiratku."

saat pangkat dan jawatan ditawarkan kepadanya, yang wujud dalam fikirannya bukanlah kedudukan, penghormatan, kuasa, harta.. bahkan yang ada dalam kepalanya -- besarnya tanggungan sebuah 'tanggungjawab' , amanah, tentang yang bakal disoal di akhirat. betapa 'besarnya' urusan akhirat dalam jiwanya.


ternyata, orang yang punya jiwa besar, fikiran mereka juga jauh lebih besar, luas dan panjang berbanding orang kebiasaan.

saat orang-orang cuma sibuk memikirkan dirinya sendiri,
mereka malah memikirkan perihal ummah seluruhnya.

saat orang-orang mengejar dunia,
mereka terlalu gelisah memikirkan akhirat mereka.


ke mana hilangnya jiwa pejuang agama?

nahdhoh.
181214

Sunday 14 December 2014

pilihan .

bismillah.

dalam hidup, tak selalu kita mampu memilih yang indah dan manis. sebagaimana kita tetap perlu menelan ubat yang pahit sebagai ikhtiar untuk sembuh. sebagaimana ibu harus memilih sukarnya mengandung dan sakitnya melahirkan demi melahirkan seorang anak. sebagaimana sebahagian pesakit kencing manis perlu dipotong kakinya untuk menjaga maslahat yang lebih besar.

begitulah. tak selalu, kita mampu memilih hanya yang enak-enak. kerana dalam hidup, selalu ada hak yang perlu ditunaikan, ada amanah yang perlu dilaksana, ada yang utama untuk diutamakan.

untuk cuti-cuti yang bakal tersedia, mahu saja kaki ini menjejak tanah-tanah indah yang menyimpan sejarah gemilangnya islam dahulu kala. travel itu memang impian yang entah sejak bila tertanam dalam jiwa.

tapi bila disenaraikan segala yang perlu dicapai dalam empat lima tahun di sini, ternyata empat lima tahun itu belum cukup untuk segalanya. bahkan kalaupun segala cuti yang ada diguna sepenuhnya, tanpa pulang ke Malaysia dan tanpa trip ke mana-mana, masih saja belum cukup. hah.

maka, melihatkan ini, 'makan angin' itu memang harus ditolak tepi dulu, kan ?

kata umi : "boleh, nak jalan-jalan. tapi buktikan pada diri, bahawa yang penting itu, ilmu."


betapa sebenarnya terlalu rindu untuk borak-borak, bercerita tentang hampir segalanya di meja makan bersama dia. :')

fi hifzillah, semuanya. :')


“Faith is not the belief that God will do what you want. 
It is the belief that God will do what is right.” 
- max Lucado. 


mintalah pada Dia. 
saat yang tampak pada kita cuma dua atau tiga jalan,
sebenarnya Dia punya 1001 jalan rahsia di sisiNya. 
:)


senyum.
menari ikut rentak.
eheh.

sebenarnya,
yang penting bukanlah 'di mana' kita diletakkan.
tetapi 'bagaimana cara kita berusaha menggali' 
hikmah, peluang, dan 'harta karun' yang tersimpan rapi.
:)


nahdhoh.
141214.

Tuesday 2 December 2014

kerana Tuhan tahu, batas mampumu :')



bismillah.



hidup memang tak pernah sunyi dari ujian, kan? kerana ini bukan tempat bersenang-lenang, hakikatnya. ini tempat kita mengumpul 'bekal'. dan Tuhan selalu punya 'sesuatu' untuk kita jadikan 'bekal', di balik tiap ujianNya.

moga kita tetap tersenyum indah, melangkah gagah, menempuh ujian demi ujian, mengutip 'mutiara' di balik 'lautan dalam'.

:')



teruslah tersenyum. 
ikhlas dari hati. 
mendongak ke langit tinggi.
"aku redha, Tuhan."

teruslah melangkah.
walau jiwa terasa lelah.
pohon lewat doa.
"Tuhan. kuatkanlah."




Tuhan lagi melihat, lagi menguji. Dan andai saja ada saatnya, kau terasa lemah .. Dia selalu ada untuk mendengar permintaan, harap, keluh kesah, aduan .. segalanya. Dia selalu ada, untuk kita berpaut. Dia selalu ada, untuk menyalur kekuatan. Dia ada. sentiasa.



Kalaupun sendiri buat kau lemah,
Yakinlah bahawa di sisimu selalu ada Tuhan, sumber segala kekuatan.

Kalaupun tak yakin bahawa diri mampu,
Yakinlah bahawa Tuhan tak menguji di luar batas kemampuanmu.

Kalaupun tak yakin kaki ini bisa teguh melangkah,

Yakinlah bahwa Tuhan selalu ada untuk berpaut, menyalur gagah.

.nahdhoh.
.021214.




teruntuk diri..
Ada sebabnya. mengapa cuma kita sendiri, di sini.
Ada sebabnya, mengapa jalan ini kelihatan sulit begini.

mengapa dan mengapa itu, selalu ada jawapnya.
yang kadang belum sampai jawapannya kepada kita.

Tuhan mahu menguji 
bagaimana kita menjawab terlebih dulu, 
mungkin ?

Atau Dia mahu menguji 
percaya kita tahap mana, 
sabar kita tahap mana, 
positif kita tahap mana.
mungkin. 

aku benar-benar berharap,
kalau kau akan gagah dan kuat.
kerana kita selalu punya Tuhan.

ayuhlah,
jalan kita masih panjang.


mohon doanya, teman :')

.021214.




Saturday 29 November 2014

kenapa Dakwah dan Tarbiah ?

bismillah.

waktu 'kecik' dulu, pernah terfikir..
"kenapa perlu dakwah dan tarbiah ?"

kenapa perlu dakwah dan tarbiah,
kalau anak-anak yang cukup kasih sayang mak ayah masih mampu menjadi anak-anak yang soleh solehah, walau tanpa dakwah dan tarbiah.

kenapa perlu libatkan diri dengan dakwah dan tarbiah,
hingga perlu mengorbankan masa rehat, masa study, masa dengan family, masa bercuti.
sedang orang yang tak terlibat dengan dakwah dan tarbiah,
mereka punya waktu rehat yang cukup, masa study yang banyak, masa untuk picnic dengan family, melancong luar negara setahun sekali, dan mereka masih saja soleh, sebagaimana orang yang terlibat dengan dakwah dan tarbiah. solat jemaah di masjid lima kali sehari, qiam tiap malam -- walau mereka tak ikut dakwah dan tarbiah.

di mana 'perlu'nya dakwah dan tarbiah?

dan kurang lebih sebulan di mesir, Tuhan memberikan jawapannya, sedikit demi sedikit..



Kenapa 'DAKWAH'?


#1
agak-agak, kalau Rasulullah hanya solat jemaah di masjid lima kali sehari, meluang masa bersama family, membina anak-anak yang soleh solehah, laksana qiam tiap malam -- hanya itu, tanpa usaha menyampaikan islam melalui ucapan, teguran, hijrah, perang dan sebagainya.. adakah islam akan sampai kepada kita ? sebagaimana kita mampu mengecap nikmat islam hari ini ?


#2
sebenarnya, apabila islam itu benar-benar tertanam dalam diri, seorang muslim itu akan mengimpikan islam untuk menyinari setiap ceruk alam. dia mengimpikan tiap jiwa manusia yang ada di bumi ini untuk mengecap nikmatnya iman dan islam sebagaimana yang dia nikmati.

dia tidak akan berhenti pada 'cukuplah aku menjaga diri sendiri dan keluargaku. cukuplah jika aku mampu berjalan dan memimpin ahli keluargaku ke syurga'. dia tidak akan berhenti takat itu. malah, dia punya keinginan, mahu memimpin seluruh manusia menuju syurga.

kerana itu, dia menyampaikan. sebagaimana Rasulullah tak pernah putus asa menyampaikan, walau mereka menolak, memaki, melukai, menyakiti. kerana kasih Rasulullah terlalu agung. kerana mahunya baginda melihat semua umatnya ke syurga terlalu tinggi.

#3
benar. wujud keluarga bahagia, yang ayahnya soleh, ibunya solehah, anak-anaknya soleh solehah-- walau mereka tidak terlibat dengan dakwah dan tarbiah. tapi, soleh dan solehahnya mereka ialah 'buah' dari tanaman golongan-golongan terdahulu yang mengorbankan sebahagian masa mereka demi menyampaikan agama ini.

"golongan yang terdahulu telah menanam pohon, kita menuai dan menikmati hasilnya. Seterusnya, kita pula yang akan menanam pohon supaya buahnya boleh dimakan oleh generasi selepas kita."

andai generasi sebelum kita memilih untuk hanya menikmati hasil pohon, tanpa menanamnya, nescaya kita takkan mampu menikmati hasilnya pada hari ini.
ertinya, andai generasi sebelum kita memilih untuk hanya 'soleh sendiri-sendiri' , tanpa melaksanakan dakwah dan menyampaikan, nescaya kita tak mampu mengenal islam sebagaimana hari ini.

begitu juga.
andai saja tiap dari kita memilih 'soleh sendiri-sendiri', nescaya generasi selepas kita takkan mampu mengenal 'islam'.



Kenapa 'TARBIAH' ?

kerana hati manusia tak lepas dari bolak-balik. kerana kita, manusia tak lepas dari jatuh-bangun. kerana kita manusia, terlalu mudah terpengaruh dengan suasana dan manusia sekeliling.

kerana hati kita terlalu mudah berbolak-balik, kita perlu kepada peringatan. tazkirah, usrah, halaqah, daurah dan sebagainya.

kerana kita manusia, yang tak lepas dari jatuh bangun -- kita memerlukan 'sesuatu' yang akan menarik tangan kita agar kembali berdiri, menyambung langkah yang terhenti.

kerana kita manusia, yang mudah terpengaruh dengan suasana dan manusia sekeliling -- kita memerlukan 'sesuatu' untuk mencipta suasana yang solehah, membina peribadi-peribadi yang tak tergoyah dek arus dunia.

sesuatu itulah, 'tarbiah'.

teori-teori dari buku motivasi, taujihat-taujihat dari da'ie-da'ie takkan menjadi nyata, tak mampu terkebumi, hanya dengan membaca. tetapi semua itu memerlukan praktikal amali. melalui tarbiah.


يا مثبت القلوب، ثبت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك




kaki, teguhlah menapak.
jiwa, teguhlah berjuang.

tsabatkanlah, Tuhan.
:')


.291114.





Tuesday 25 November 2014

Struggle .




Bismillah.


#1
Anak-anak itu masih mampu tersenyum lebar, ketawa riang menghulurkan gula-gula pada setiap penumpang bas. Tak menangisi kaki mereka yang tak berselipar, baju mereka yang comot, rambut mereka yang tak bersikat. Entah berapa umur mereka, entah bersekolah, entah tidak. Aku tak punya jawapan untuk itu.

Yang menarik perhatian aku, dengan keadaan mereka sebegitu, mereka masih saja tersenyum indah, ketawa riang.

“tetaplah begitu, sayang. Teruslah tersenyum menghadap hari-hari akan datang yang mungkin akan menjadi lebih sukar. aku juga mahu, menjadi seperti kalian -- menghadap hari-hari akan datang, mendepani dunia dan manusia yang kadang terlalu banyak ragamnya, dengan senyum dan ketawa sepertimana kalian.”


#2
Pintu pagar jami’ah dihampiri. Pandangan dialih ke kiri. Seorang pak cik berdiri dengan kotak di tangan, berisi peket-peket tisu. Menawarkan kepada kami barang jualannya, sambil mendoakan moga kami termasuk orang yang berjaya.

“amin.amin. moga Allah memberkatimu, pak cik.”



tiap dari kita, memang punya bidang struggle yang tersendiri, Kan?

Sebagaimana anak-anak kecil berkaki ayam itu berusaha mendapatkan segenih dua melalui jualan gula-gula. Sebagaimana pak cik itu berusaha mencari duit melalui jualan tisu awal-awal pagi pada musim sejuk.

Sebagaimana ada antara kita yang masih struggle, belajar untuk bangun beberapa minit sebelum subuh. Sebagaimana ada antara kita yang masih belajar untuk mencium hujan yang dikurnia Tuhan, walau sinar mentari yang diharapkan. Sebagaimana ada antara kita yang mencuba untuk melawan nafsu, memenuhkan masanya dengan perkara bermanfaat, saat masyarakat lagi leka dengan pelbagai hiburan. Sebagaimana ada antara kita yang perlu melawan perkara-perkara yang tak disukai untuk matlamat yang lebih besar. Dan. Sebagainya..


Lalu.
Saat kita merasakan jalan kita sukar,
Tebarkanlah pandangan ke sekeliling.

Akan kita temui hakikat ..
Ternyata masih ramai,
Yang ujiannya lebih berat.
Ternyata,
Ujian kita ini bukanlah apa-apa
Jika dibanding dengan mereka.


Teruslah memerhati, berfikir, dan belajar dari kehidupan.  
Nescaya dalam sesak sesak, simpang siurnya dunia,
Kan tertemu di baliknya pengajaran dan hikmah yang besar.

Bi iznillah.
:’)



Ada sebab, mengapa kita di sini.
Ada sebab, mengapa baru saat ini.
Ada sebab, mengapa ditetapkan begini.

Tiap satunya punya sebab dan hikmah tersendiri.
Kerana dalam kamus muslim, istilah ‘kebetulan’ itu, TIADA.
Kerana kami yakin dan percaya,

Tiap satunya diatur Tuhan Yang Maha Teliti PerancanganNya.


*percaya, berakar umbilah dalam jiwa !


.251114.

Sunday 23 November 2014

tentang tiap laku kita .



bismillah.

waktu air mata hampir menitis menonton satu movie -- seorang ayah yang dihukum gantung atas kesalahan yang sebenarnya, dia tak lakukan dan dia terpaksa meninggalkan anak kecil yang hanya punya dia sebagai ahli keluarga, jadi terfikirkan anak-anak gaza dan syria.. yang ayah, ibu, abang, kakak, dan adik mereka dibunuh tanpa sebab yang jelas.

bukan dihukum dengan hukuman yang salah, bahkan tak pernah diadili sama sekali. betapa tangisan, raungan mereka, tak pernah didengar dunia. betapa manusia terlalu pekak untuk mendengar, terlalu buta untuk melihat, terlalu gelap hati untuk mengasihani.

dan kami yang disergap pedih dengan apa yang menimpa umat islam, tak punya cara selain mengambil tahu, menatap pilu, boikot, dan doa. entah apa yang bisa kami lakukan untuk kalian, wahai anak-anak, ibu-ibu, ayah-ayah gaza dan syria..

#1
terdapat beberapa golongan yang mempersoalkan..
mengapa nasib penganut agama paling ramai di dunia bisa diinjak sampai tahap ini ?
di mana kemenangan yang dilaung-laungkan oleh islam ?
di mana pertolongan yang dijanji Tuhan?

kita bertanya, "mengapa umat islam diinjak sebegini rupa",
sedang kita tak pernah menjunjung islam di tempat selayaknya.

kita bertanya, "di mana kemenangan yang dilaung-laungkan oleh islam",
sedang kita masih bersikap memilih dalam pelaksanaan syariat islam.
mana yang selari kehendak, kita tunaikan.
mana yang bertentangan dengan kehendak, kita tinggalkan.
dan kita sibuk bertanya, "di mana kemenangan ??".

kita bertanya, "di mana pertolongan yang dijanji Tuhan?",
sedang kita masih sering meninggalkan 'redha Tuhan' dalam kehidupan.

Apa layak, kita diberi ketinggian, kemenangan dan pertolongan?
kalau kita sendiri tak pernah menjunjung islam itu tinggi-tinggi.
kalau kita sendiri masih melaksanakan islam secara juz'i juz'i.
kalau kita masih mencari 'dunia dan manusia' berbanding Tuhan Yang Maha Kuasa.
layak ?

bukan Islam itu tak cukup sempurna.
tapi kerana kita belum melaksanakan islam secara sempurna.
bukan kerana Tuhan tak mampu mengurniakan pertolongan.
Tapi kerana kita belum layak mengecap erti kemenangan.



#2
jadi apa yang boleh kita lakukan ?

pertingkatkan diri.


hanya individu yang berkualiti mampu membentuk keluarga yang berkualiti. hanya kumpulan-kumpulan keluarga yang berkualiti akan membentuk masyarakat yang berkualiti. hanya masyarakat yang berkualiti yang mampu menyokong dan membina kerajaan yang berkualiti. dan seterusnya ... sehingga islam benar-benar bertapak kukuh di atas muka bumi, menyinarkan cahaya keadilan yang agung ke serata ceruk dunia.

step. by step.

yakinlah. bahawa islam akan bertapak kukuh, pertolongan itu pasti, dan kemenangan itu kan terjadi. dan itu semua bermula dengan pembentukan peribadi. proses yang akan mengambil masa panjang, tapi berkesan.

"kalaupun kita tak sempat melihat saat gemilang islam itu tertegak, jadikanlah diri kita sebagai salah satu batu-bata yang menjadi asbab kemenangan islam." - cik tie

sebagaimana Rasulullah memperjuangkan islam. dan baginda tidak sempat melihat kota Konstantinopel dibuka, melihat Islam menawan satu per tiga Dunia. Namun asas kemenangan itu dibina oleh Rasulullah. jiwa-jiwa yang menawan dunia itu terhasil dari didikan Rasulullah.
Subhanallah. hebat. kan? :)

"Islam itu pasti tertegak. melalui kamu. Atau tanpa kamu."

Janji Tuhan itu PASTI berlaku. samada dengan bantuan kita. atau tanpa kita. kerana kewujudan, sumbangan, dan usaha kita tak pernah memberikan apa-apa kesan kepada Allah. bahkan tiap usaha dan tindakan kita, adalah untuk diri kita sendiri, sesungguhnya.



*betapa peranan kita terlalu besar, sebenarnya. betapa tiap perbuatan kita memberi kesan pada umat muslimin seluruhnya.

"Aku khuatir, bencana yang terjadi di seluruh negeri Muslim adalah kerana dosaku, sebab aku mengetahui betul dosa-dosaku "


"Sesungguhnya bencana turun kerana maksiat dan lenyap kerana taubat." - saidina Ali.




ini sungguh. 
peringatan untuk diri.
kita memang terlalu jauh dari 'serius'.
masih banyak bermain-main dengan tujuan hidup.
masih banyak membuang percuma, masa muda yang terlalu berharga.

bangkitlah, syabab.

"Tuhan. jadikan kami anggota tenteraMu".
amin.
:')

.231114.






Tuesday 18 November 2014

it's okay :)

bismillah.

kadang kita terlalu mengharapkan kesempurnaan. sampai-sampai tanpa sedar, kita jadi sukar memaafkan diri sendiri atas tiap keterlanjuran. *senyum pahit*

sebenarnya.
takde masalah pun dengan kesalahan, selagi mana kita belajar dari tiap kesalahan.
kadang, 'kesalahan' tu, bagi pengajaran yang lebih berkesan berbanding 'kesempurnaan'. kan?


"A man must be big enough to admit his mistakes, smart enough to profit from them, and strong enough to correct them." - john c. maxwell

kerana kita manusia, kita tak mungkin sempurna. tapi kita sedang belajar bertatih, menuju 'sempurna'. walau sampai akhir hayat, kita takkan ketemu titik hujung 'kesempurnaan', tapi sekurang-kurangnya kita bergerak. dan moga hari-hari yang terkemudian dan akan datang, kita lebih baik dari hari semalam dan hari-hari sebelumnya.

oh, dan.. kita diletakkan dalam kalangan orang-orang yang jauh lebih baik dari kita, bukan untuk kita merasa rendah diri dan putus asa. sebaliknya agar kita yang sebelum ini hanya 'berjalan lenggang kangkung' , tersedar dan tersentak bahawa kita telah jauh ketinggalan. agar kita berusaha semampunya untuk turut berada satu barisan dengan mereka yang telah jauh di hadapan.

" seseorang itu bukan dinilai berdasarkan tempoh dia mengikut tarbiah, tetapi sejauh mana dia berusaha untuk meningkatkan diri dan mentarbiah dirinya." - kakak murabbiah.

moga kita mati dalam keadaan kita berusaha menjadi yang lebih baik. dan moga usaha-usaha dan jatuh bangun kita menjadi asbab yang menjemput rahmatNya, lalu Dia sudi mengurniakan kita taman-taman syurga yang sempurna keindahan dan kenikmatannya. :')

"who created death and life that He may try you-- which of you is the best in deeds; and He is The Mighty, the Forgiving." (Al Mulk : 2)


teruntuk diri.
"just be the best version of yourself".

kerana kita dicipta untuk menjadi diri sendiri, 
menyumbang, apa yang ada pada diri yang ini, 
menampung, kurang dan lompong yang ada pada diri yang ini

diri yang ini.
bukan yang lain.
  :')

*escapism. :))


.nahdhoh.

.181114.
.1747.

Thursday 13 November 2014

Teguran.

lagi scroll down mukabuka, sambil bagi rehat pada badan setelah berpeluh-peluh menghadap mangkuk pinggan di dapur. dan saat mata tertancap pada satu gambar selfie rakan fb, terkedu sendiri. meneguk liur. bukan tergoda. memang tak. dia perempuan dan saya perempuan.

dia dah lawa pakai baju kurung diganding dengan tudung bawal. malangnya, tangan baju dilipat hampir paras siku, mendedahkan lengannya yang putih melepak. sayang. sungguh, sayang. dia bukanlah orang yang saya kenal rapat. cuma pernah berbalas senyum, berselisih bahu, berbalas anggukan tanda 'saya-kenal-awak-awak-kenal-saya' di pusat tuisyen. sekadar itu. tapi sungguh, bagai rasa terpanggil-panggil untuk menegur "lengan itu masih aurat, sayang. dan mukabuka ini bukan hanya dilihat mahrammu. bahkan aku kira, yang bakal melihat gambar itu, lebih ramai 'bukan mahram' dari yang 'mahram'.

tapi saat hati menekan klik pada chatbox kepunyaan dia, hati jadi berbelah bagi.
" penerimaannya nanti, bagaimana ? "
" kau itu siapa ? bukan kenal rapat kan, dengan dia ? peduli apa ?? "

dan saat jari hampir saja menutup kotakbual, ada satu suara kecil berbisik,
" nanti kan Tuhan tanya, kenapa kau tak menegur, saat kau tengok kesalahan sahabatmu depan mata ? "
" tegur sajalah. mungkin saja, dia benar-benar tak tahu. *mungkin* "

lalu, hati diteguhkan. jari menekan satu-satu aksara kata yang tersusun di kepala.
meneguk liur juga saat mahu menekan butang send. moga kau bisa terima dengan lapang dada, sahabat.

sungguh. menegur itu memang tak mudah. bagi saya. banyak tanggapan yang datang menyapa. bimbang dia terasa dan sebagainya. atau sebenarnya ianya cumalah hasutan syaitan semata. maka, harus belajar membezakan, mana bisikan iman, mana hasutan syaitan.

sungguh. kita memang takkan pernah berhenti belajar. dari saat kita menjenguk dunia buat kali pertama, hingga kita menghembuskan nafas buat terakhir kalinya. takkan pernah berhenti belajar. paling kurang, belajar dari kehidupan itu sendiri, sebenarnya.

entah kenapa, semenjak dua menjak ini, aku sedar, Tuhan sedang mengajar aku banyak perkara lewat ujian-ujian kecil. belajar, melepaskan 'dunia' saat sang Pengurnia menarik balik kurniaanNya. belajar bahawa takdir Tuhan itu mengatasi segala. belajar bahawa takdir indah yang Dia lakar itu, bukan menurut kehendak kita, tapi menurut apa yang Dia lihat baik dari kacamata Dia Yang Maha Bijaksana. belajar mencium hujan, walau saat itu kita lagi mengharapkan mentari bersinar terang.

Tuhan.
Dia menegur dengan cara yang indah.
hamba saja yang lemah,
tak mampu menyingkap hikmah.
:')

*entry yg entah bila ditulis, dikurung dalam draft. heh.

Thursday 2 October 2014

Indah.


bismillah. :)

hidup ini sungguh, penuh warna-warni. ada masa kita gembira, ada masa kita berduka. ada masa kita ketawa, ada masa kita mengalir air mata. ada masa kita merasakan jalan kita cerah, ada masa kita tercari-cari di mana 'sinar mentari'.

iya. hidup ini takkan indah, kalau cuma punya satu atau dua warna. hidup ini kan hilang indahnya, kalau kita cuma punya satu rasa. bukankah warna-warni itu indah? dan bukankah, pelbagai rasa jiwa itu membawa buat kita menghargai tiap rasa yang menyergap di jiwa? bagaimana mungkin, kita akan menghargai suatu ketenangan, andai kita tak pernah merasa sebuah kegelisahan? bagaimana kita mampu menghargai nikmat sihat, jika kita tak pernah merasa peritnya sakit?

begitulah. kerana kita manusia. kita selalu lupa. kerana kita manusia. selalunya, kita hanya benar-benar menghargai sesuatu hanya apabila ia ditarik pergi. kerana itu, kadang Tuhan menarik suatu nikmat kembali, agar kita sedar, betapa besarnya nikmat yang Dia kurnia. kerana kita selalu lupa. kerana Dia masih tetap sayangkan kita, mahu kita kembali pada Dia, kembali fokus tentang 'hidup ini untuk apa'.

Dan. bak kata Yasmin Mogahed *ditulis mengikut ayat kanakkanak saya*, andainya kita benar sabar, redha dan lapang dada saat Dia menarik nikmat, maka Dia akan memberikan nikmat itu kembali, seperti sedia kala. Atau Dia akan menggantikannya dengan yang jauh lebih baik.

jangan pernah memandang 'yang lebih baik' itu ialah sesuatu yang lebih mahal, lebih indah, lebih 'up-to-date' dari yang sebelumnya-- itu cuma pandangan mata kasar yang memandang dunia. bahkan kadang, secara mata kasarnya, kita tak peroleh apa-apa. tapi, yakinlah kalau ganjaran atas kesabaran, redha dan lapang dada itu Ada. Pasti. Berbaik sangkalah. bahawa Tuhan lagi menyediakan untuk kita sesuatu yang jauh lebih indah di alam sana. itu kan, jauh lebih lumayan? -- seandainya kita tahu betapa kehidupan dunia dan kehidupan akhirat itu, terlalu jauh bezanya.

keburukan yang menimpa manusia berpunca daripada diri manusia itu sendiri. Ia sebagai akibat daripada sikap manusia yang tidak tetap di atas jalan kebaikan yang sudah digariskan oleh Allah. Manusia menyimpang daripada jalannya, sehingga Allah menguji mereka bagi mengembalikan mereka pada jalannya. Ujian ini adalah tanda Allah cinta pada hambaNya.

Imam AlShadiq menyatakan : ' Besarnya pahala seseorang sesuai dengan besarnya penderitaanya dan Allah tidak mencintai hamba kecuali Dia menghadapkannya pada penderitaan.'

Menurut Qurais Shihab, apa yang dinamakan kejahatan atau keburukan itu sebenarnya tidak ada, ataupun setidak-tidaknya hanya ada pada kebiasaan manusia yang memandang secara sebahagian-sebahagian, tidak menyeluruh. 

Shihab menegaskan dengan lebih lanjut :
'Kalau demikian, segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah, dan segala sesuatu yang bersumber dari Allah pasti baik. Keburukan adalah akibat daripada keterbatasan pandangan. Segala sesuatu sebenarnya tidak buruk, tetapi fikiran manusia mengiranya demikian. sering kali ketika seseorang memandang sesuatu secara mikro, hal itu dinilainya buruk dan jahat, tetapi jika dipandang secara makro dan menyeluruh, justeru hal itu merupakan unsur keindahan dan kebaikan. Oleh kerana itu, jangan memandang kebijaksanaan Allah secara mikro. Sungguhpun saudara tidak mampu memandangnya secara makro, yakinlah bahawa ada hikmah di sebalik semua itu.

- Kecerdasan berasaskan AsmaUlHusna. Sulaiman AlKumayi.





teruntuk diri. 
apapun yang terjadi nanti,
pandanglah dengan penuh sangka baik
bahawa perancangan dan takdir Dia itu selalu indah sempurna. 
tinggal saja, mata kita terlalu kabur untuk melihat keindahannya. 
aqal kita terlalu terbatas untuk memahami aturan perancanganNya. 

aku selalu berharap, 
kalau kau akan terus kuat dan tenang.
mendatangi hari akan datang,
menempuh jalan yang masih panjang.

"Tuhan tak menjanjikan jalan ini kan senang. tapi Dia berjanji, Dia kan selalu ada." 

Tuhan..
Kurniakan kami mata hati
hingga kami mampu melihat 
keindahan di balik aturanMu. 
atau sekurangnya, mampu teguh 
dalam yakin dan sangka baik terhadapMu.

:)


Sunday 27 July 2014

Ramadhan.

Bismillah.

Terasa masa begitu pantas berlalu. Apa jarum jam yang terlalu gigih berlari menghabiskan pusingannya, sampai-sampai waktu 24 jam itu dirasakan beberapa jam cuma. Atau entah diri yang kurang peduli pada saat yang tak pernah terhenti bergerak. Sampai-sampai, masih terlalu banyak masa yang dibuang pada guling-guling atas katil, pada menung-menung kosong, pada tidur lena yang panjang. Sedang mati makin menghampiri. Detik demi detik. Tak pernah terhenti. Saat kita lagi ngaji, atau lagi mandi atau lagi releks-releks diri, detik masa tak pernah kenal lelah, tak pernah minta rehat, apalagi berhenti.

"Demi masa."

Dan. Kiranya bagai baru semalam, aku kalut-kalut bersiap mahu terawih malam pertama ramadhan. Dan saat ini, ramadhan sudah melambai-lambai, menuju balai pelepasan. Mahu pergi. Cuma tinggal beberapa jam saja lagi. Andai saja masa itu boleh disekat, mahu saja aku tahan Ramadhan itu dari pergi.

Begitulah. Betapa sebulan yang lalu, kita terlalu menantikan kehadirannya. Dan kita sendiri lebih tahu, bila ramadhan hadir, semeriah mana ibadah kita. Apa semeriah pusat beli belah saat musim raya menjelma, atau ibadah-ibadah kita kalah pada biskut dan langsir raya.

Sehambar manapun kita menyambut ramadhan,dia masih mendatangkan manfaat. Kerana hadirnya dia itu sendiri, satu rahmat. Apatah lagi kalau kita benar-benar memuliakannya dengan amal-amal yang dicinta Tuhan. Subhanallah.

Moga amal-amal kita diterima Tuhan.
Moga dosa-dosa kita diampunkan.

Moga hati kita lebih indah.
Moga jiwa kita lebih gagah.

Moga amal-amal ramadhan kita,
Jadi latihan buat amal-amal dalam bulan-bulan seterusnya.

Moga Allah redha.

Bakal rindu.
Ramadhan, nanti kita jumpa lagi, ya?
Bi iznillah :')



Atas kurnia-kurniaMu, ya Allah,
Terima kasih :)


|29 ramadhan 1435. 6.13 pm|





Wednesday 9 April 2014

apa benar, kamu mengagungkan alQuran?



"Siapa antara kalian, menambah hafalannya setiap hari, angkat tangan."

*sepi tanpa reaksi*



* syeikh berpaling ke kiri dan ke kanan, mencari tangan yang terangkat.*

Tiada.



dia menyambung dalam nada kecewa,
"Beginikah yang kamu katakan, kamu memuliakan alquran?"

*tunduk pandang rehal*



"Adakah kalian, penuntut ilmu?"

setelah diam agak lama, beberapa orang dalam kalangan kami menjawab perlahan, "Ya".



"Bagaimana mungkin (kamu menuntut ilmu), tanpa al-quran?"

*tersentak*



"Apabila manusia bertanya ..
Bagaimana kamu ingin menjelaskan 'ini haram' , 'ini halal' , 'ini makruh' , 'ini salah,
'Ini benar' .. tanpa dalil ?"


*Zuup*
Soalan itu menusuk lagi, buat yang entah ke berapa kali.

Syeikh.
Kalammu ..
Berat.
Sungguh.



# sudah kerap kali, aku ditanya dengan soalan "adakah kamu menghafal al-quran ?"
dan hati ini tak pernah gagal tersentap, setiap kali soalan itu diajukan.
tambah menusuk, soalan tu ditanya dalam bahasa arab.
*tak tau jugak kenapa, tapi bila dengar kalam arab, memang tertusuk lebih dalam. huhhu*

*hela nafas panjang-panjang*
memang dah banyak kali terdetik nak hafal quran sebelum ni, tapi tak terlaksana.
takut dengan tanggungjawab nak jaga, mungkin. hee.



tapi..

bila start join kelas ni ..

time tafsir, ustaz akan sebut ayat yang berkaitan dengan syarahan ayat. kemudian dia akan tanya, ayat ni dari surah mana??

belajar soraf, ustaz terangkan maksud perkataan. then, kalau perkataan tu ada dalam quran, dia akan tanya ayat mana ? atau. dia akan sebut ayat, then tanya dari surah mana ?

belajar usul fiqh,,
memang tidak boleh tidak, setiap kali nak nyatakan kaedah atau hukum, kena kemukakan dalil.


bila sampai bab dalil, maka kami-kami yang bukan huffaz ni akan diam kelu.
dan dari muka tenang syeikh (waktu usul fiqh), boleh nampak riak kecewa.
*bila nampak riak dia macam tu, aku cuma boleh senyum kelat je.*


dulu..
hafal apa yang dalam buku teks je. dalil, huraian, kenapa, mengapa. semua dalam buku teks.

bila terdedah dengan ilmu luar silibus ni,
baru terdiam tak terkata, bila ditanya dalil quran hadis semua tu.
memang baru sedar la kan,, straight A dengan pangkat mumtaz tu..
(err.. entah. jadi tak tahu nak letak nilai. huhhu)
dan memang makin bertambah kesedaran, bahawa ..
perlunya hafal quran. dalami hadis. sungguh. T.T



"Tuhan.
Andai itu, Engkau redha,,
Tunjukkanlah jalannya, Ya Rabb."



.090414.

Thursday 27 February 2014

random .


"ok. nak off dulu ni. nak hadap tafsir kejap."

kening berkerut. 'budak account, hadap tafsir ?? tafsir quran, atau nak study madah tafsir ??' monolog sendiri. lalu jari-jemari menari di atas keyboard, menaip di ruangan chatbox. "tafsir apa ??" soalan ringkas diaju, minta penjelasan.

"tafsir quran. hee. dah ketinggalan dah ni."

'ketinggalan ?? berlumba dengan siapa ??' entah kenapa, otak sedikit lampi waktu itu. mungkin sebab dah lewat malam. otak dah siap sedia nak rehat. heh. alasan. lalu ditaip lagi, "ketinggalan ??"

"err. pernah dengar 'ODOJ' ?? ."

sentap. "ohh. tau." ODOJ. one day one juz. rasa malu sendiri. 'aku pun, tak laksana lagi'.

"tapi saya bukan ODOJ. saya ODHJ. one day, half juz."

"ok la tu. slow-slow. saya, tak jaga sangat pun, kuantiti sehari-hari. main baca je."

"kan ? kalau ada aim, kita jadi serious sket."

"hmm. kyra."

"hmm ?"

"thank you."

"for ?"

"you give me some inspirations"

"alah. no biggie."




nota kaki :

bual-bual bersama sahabat di maya itu,
kadang boleh bawak nanges rindu.
*macam budak tadika
kadang boleh bawak senyum lebar seharian,
bila gurau-gurau mereka buat bahagia memenuhi atmosfera bumi.
kadang boleh saling menguatkan,
walau tanpa mereka sebagai crying shoulder,
cukuplah dengan 'some comforting words' sebagai penguat jiwa.
kadang boleh buat sentap.
dengan hanya sedikit perkongsian ikhlas dari mereka.

itu.
istimewanya sahabat.

pernah terlintas doa ini, di hati kecil :

"Tuhan.
kenalkan aku dengan cintaMu,
cinta pada dakwah dan tarbiyah.
cinta berukhuwwah.
sibukkanlah aku dengan cinta-cinta ini,
hingga tiada masa bagi aku
ingin mencari cinta ajnabi
selagi belum tiba waktunya."

dan.
menjaga hati tu tak mudah.

*kadang, kita memang kena sengaja sibukkan diri sendiri, untuk elak fikir atau buat benda-benda yang tak perlu. kan ??

Thursday 20 February 2014

Tuhan, ajarkan aku ..

Tuhan.

ajarkan aku ..
ukir senyum indah walau dalam gundah.

ajarkan aku ..
memaafkan walau sukar.

ajarkan aku ..
menyayangi walau disakiti.

ajarkan aku ..
memberi saat aku juga sangat memerlukan.

ajarkan aku ..
percaya saat aku hampir putus asa.

ajarkan aku ..
kuat.
saat aku lemah.

Tuhan ..
ajarkan aku ..

"ajarkan aku.. bersinar terang saat aku juga dalam kegelapan"


.140216.

harap dalam diam .

ada harapan menjalar.
tapi kekurangan kekurangan aku,
buat segan menular.

lalu aku diamkan saja.
pendam dalam-dalam.
mengharap dalam diam.

...

bisa saja kau pendam segala.
kerna Dia
tetap saja tahu 
isi hati kecilmu itu.
walau kau cuba pendam 
di lubuk hati paling dalam.
dan kau rahsiakan
diam-diam.

...

sebenarnya,
kita tak perlu malu meminta pada Dia.

berbeza dengan manusia
yang biasanya tak gemar diminta-minta,
Dia malah suka hambanya meminta

itukan tanda,
kita hamba.
dan bahawa kita.
tak punya pergantungan 
selain Dia.

mintalah.
Dia suka.

:')


sungguh.
Dia suka hambaNya meminta pada Dia,
antara nikmat yang sangat besar sebenarnya

Friday 14 February 2014

bimbang dengan masa depan ??



ada waktunya kita benar-benar 'curious' tentang apa yang ada pada masa hadapan. apakah doa yang saban waktu kita utuskan akan termakbul. apakah hasil usaha-usaha kita harini.

padahal kita sama-sama tahu hakikatnya.

'pena telah diangkat dan lembaran telah pun kering'.
Tuhan telah menetapkan segalanya. sempurna.

Dia.
Yang Maha Mengetahui segala rahsia langit dan bumi.
Yang segala urus tadbir seluruh alam maya,
dari sebesar-besar urusan peredaran planet yang tak pernah tergelincir dari paksi,
hingga sekecil-kecil urusan rezeki buat si kuman halus di bawah tanah juga,
Dia yang jaga.

Dia.
Yang menjadikan kita dari setitis air yang hina,
tapi kita lihat hari ini, sempurna segala anggota.
Dia.
yang menjaga segala keperluan kita saat kita masih dikandung ibu.
Dia.
Yang mengilhamkan kita hingga pandai menyusu,
buat mengisi perut yang belum mampu menerima makanan selain susu waktu itu.
Dia.
Yang mengizinkan kita punya kudrat buat mengengsot, merangkak, berjalan, lalu berlari dan melompat.
Dia.
Yang tak pernah lupa dan alpa, tidak pernah sekalipun terleka dari menguruskan perihal keperluan kita, hamba kerdilNya.

Dengan segala Rahmat dan kasih sayangNya itulah, kita semua masih hidup hingga hari ini. menjadikan kamu sebagaimana kamu hari ini. dan menjadikan aku sebagaimana aku hari ini.

Yang menjaga dan mentadbir setiap urat darah dan saraf, dan setiap sistem dalam tubuh badan aku selama kurang lebih sembilan belas tahun ini. dan selama sembilan belas tahun ini, aku sangat yakin bahawa, Dia tak pernah lupa akan aku, hamba kerdilNya. Andai saja, Dia pernah lupa walau sesaat, maka saat itu jugalah, nyawa aku terbang ke langit tinggi. MATI. dan hari ini. aku masih berceloteh di sini hanya kerana Dia masih mahu meminjamkan aku nyawa dan peluang untuk tinggal di dunia milikNya ini.

:')
sungguh.
aku sebak terharu sendiri membilang betapa besarnya rahmat dan kasih sayangNya buat kita,
hamba-hamba kerdilNya.

atas segala bukti-bukti ini,
aku sendiri jadi hairan.
kenapa aku perlu bimbang memikirkan masa depan yang juga di tangan Dia ??

sejak dari percantuman benih ibu dan ayah,
Dia Yang Menjaga.
dan hingga hari ini, kita baik-baik saja
dengan izin Dia.

lalu,
apakah kita punya sebab kukuh,
mahu ragu dan risau terhadap masa depan,
yang juga diatur dan ditentukan oleh Dia ??

bila berhadapan pilihan-pilihan,
dan keputusan-keputusan,
yang pentingnya bagai menentukan hidup dan mati. *over*

fikirkan dan usahakanlah yang terbaik.
tak perlulahkan nak sakit kepala tertekan bagai..
semata-mata sebab kita risau,
pilihan kita ni mungkin mencacatkan masa depan.

tugas kita cuma berusaha
dan meminta kepada Dia,
moga ditetapkan yang sebaiknya.

sebagaimana kita hari ini baik-baik saja,
maka percayalah,
masa depan kita juga akan baik-baik saja.

kenapa ??
kerna yang menjaga kita itu,,
Dia.

Dia yang tak pernah lupa dan alpa akan kita,
hamba-hamba kerdilNya.

:)


selitan :

perkongsian daripada Kak Izyan dalam tazkirah subuh pagi tadi..

nikmat yang Dia kurnia terlalu banyak.
tak mungkin mampu dibilang.
tapi dalam alquran, kalimah ni'mah (mufrad.singular.satu) digunakan.
nak katanya bahawa,,
segala nikmat yang kita kecap, yang kita tak mampu nak bilang ni,
cumalah SATU bahagian dari nikmat-nikmat di sisi Allah.
subahanallah.

'Lalu yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan ??'

Saturday 1 February 2014

balutan doa

ehem.
bismillah.
baru terasa nak berbicara pasal STAM. (:

khamis lepas, terima result.
first time, terima result dekat skolah lain.
dekat MMPPP, bukan MMP.
tak pergi joging dengan sepupu paling akrab sebelum terima result, macam tahun-tahun sebelum ni.
tak duduk satu row dengan sahabat berlapan, saling pegang tangan, menenangkan debaran, sambil sama-sama berdoa dalam hati, agar satu-persatu nama-nama kami disebut untuk terima slip di atas pentas.

oh.jugak.
first time cek result thru phone sebelum terima slip. tahun-tahun sebelum ni, sabar je tunggu terima slip kat skolah. tahun ni, entah kenapa, cek thru phone dulu. dan bila tahu result, tak henti-henti bibir mengucap hamdalah.

actually, tak mencapai target yang skolah letak. tapi kalau ikutkan usaha diri sendiri, rasanya Dia telah beri keputusan yang terlalu baik, sebenarnya. sungguh, walaupun tak straight macam sebelum-sebelum ni, tapi rasa syukur sangat-sangat, dengan apa yang Dia bagi. MUMTAZ, alhamdulillah (:

sebenarnya, tahun lepas, saya banyak belajar tentang kehidupan itu sendiri.
masuk bulan mac, terkejar-kejar berlari, nak memahami apa yang ustaz ustazah ajar.
nak adapt dengan sekolah baru, peraturan baru, suasana baru, guru-guru baru, kawan-kawan baru yang ternyata sangat-sangat berbeza dengan yang sebelum ni. jumpa karakter-karakter baru yang saya belum pernah lihat dan ketemu sebelum ini. nak menerima mereka dengan kelebihan dan kekurangan yang mereka punya. belajar menerima, apa adanya.
ini semua, menjadikan pandangan saya tentang kehidupan ni, jadi lebih luas.

(:
alhamdulillah.

****************************************************************

saat mamai-mamai, antara sedar dan tidak waktu jam 5 pagi, handset berteriak memanggil untuk diangkat. nombor yang panjang. dahi sedikit berkerut. butang hijau ditekan, sambil menyandarkan badan pada bantal di kepala katil. 'Jihah ??'

dia. menelefon jauh dari morocco. mendoakan hari ini baik-baik saja. juga, moga Dia berikan yang terbaik. cukuplah buat 'mengantuk' terbang pergi, dan memunculkan senyum di pagi hari.
(:

******************************************************************

'Allah.' dia mengeluh. berderet kereta menunggu giliran untuk u-turn. dah la mata ni dah berat semacam, mintak rehat. dari pagi sampai petang, duk main keluar masuk rumah je. pergi kelas, balik kelas, makan, pergi sekolah, ambik result, balik skolah, solat, makan.. dan sekarang, keluar ambik adik-adik.

dia membetulkan duduk, menjegilkan mata seluas-luasnya, menghalau pergi beban mengantuk di kelopak mata. 'huh. qowiy.qowiy.'

tiba-tiba, handphone di sebelah berbunyi. 'witheld'. dahi berkerut tanpa sedar. dengan senyuman di bibir, butang hijau ditekan. "assalamualaikum... ada apa, tetiba orang jauh call kita ni??" terdengar gelak kecil orang di hujung talian.

" your result. ok??."
"gitulah. alhamdulillah."
"umi ma dah cakap kat kak chik. mabruk."
"ok."
"tengah buat apa tu ??"
"hmm. drive. u-turn." dia menuturkan dengan nada tak bersalah.
"heh."
"hahha. orang jauh call, tak sampai hati nak suruh call kejap lagi."

again, cukuplah untuk menghalau letih dan kantuk. membolehkan semangat memandu datang kembali. ceh.

******************************************************************

saya percaya,
ini juga berkat hasil doa
umi abi.
para sahabat.
kerabat.


*sekadar catatan.
agar saya tak lupa.
saya punya mereka.
yang sentiasa mendoakan.

(:

Thursday 16 January 2014

Langkah .



aku tahu.
aku perlu terus melangkah.
melangkah. dan melangkah.
terus ke hadapan.

pandang belakang,
hanya untuk ambil pelajaran.
mengundur ke belakang,
jangan sekali-kali.

aku tak nampak jalan di hadapan.
tapi aku cukup pasti,
jalan itu penuh selekoh tajam.
dihias duri yang sedia menyucuk kaki.

dan.
aku tak nampak pautan.
tak nampak pergantungan.
tiada manusia yang menghulur tangan.

tapi aku harus terus berjalan.

sebenarnya,
Tuhan belum tunjukkan aku jalannya.
Tuhan tidak munculkan manusia
juga dunia, yang sanggup tuntun aku.

kerna Dia mahu
aku meminta pada Dia.
bergantung hanya pada Dia.
pasak sepenuh percaya.
pada Dia.

bila Dia ada,
tak perlu lagi bimbang dan curiga
walau manusia tak membantu,
walau 'dunia' membatu.

bukankah kekuasaan Dia meliputi segala ??
Dunia.. dan seisinya termasuk manusia ??



hasbunallah wa ni'mal wakil.
senyum.



Layyina .





mata difokuskan pada jalan raya di depan. beberapa saat kemudian, mata memandang cermin pandang belakang.

'eh ?'. kelihatan, sepasang tangan kecil sedang sibuk menyusun bantal-bantal di bahagian cermin belakang, menghalang pandangan.

"ina. turunkanlah bantal tu. kakak tak nampak cermin belakang ni."

senyap.
.
.

"nanti mannan, hanif nak duduk, tak muat." balas si kecil. dah fikir, kejap lagi abang-abang dia nak duduk, tak muat.

"biarlah dulu, mannan, hanif tu. letak bawah dulu. kakak tak nampak cermin belakang."

senyap.

 lagi. dan dia nampak tangan kecil itu menarik bantal, turun ke bawah, jatuh pada seat belakang.

"bukannya kakak tengok belakang pun. tengok depan, dah lah." dengan mulut muncung, dia mengomel perlahan, sambil kaki melangkah ke seat depan, sebelah driver.

'eh'
*geleng kepala sambil tergelak dalam hati.

"ni. kakak tengok ikut sini." tangan kiri mengetuk cermin pandang belakang.
"bahaya lah, tak nampak kereta belakang. nanti kena langgar."

senyap je budak kecik kat sebelah. entah berfikir, menerima maklumat yang baru diterima, atau memang tak faham langsung apa yang kakak dia kata. biarlah. dah cuba jelaskan dengan bahasa yang habis mudah dah tu. nak hurai 'pantulan' bagai, memang tak lah.

lampu isyarat bertukar merah. brek kaki ditekan perlahan. gear ditukar menjadi neutral. pandangan dialih pada si kecil di sebelah. dah tersengguk-sengguk. bibir mengukir senyum tanpa sedar. butang pada seat belt ditekan, badan dibongkokkan ke sebelah kiri, kerusi di sebelah direndahkan.

***

kat rumah tadi dah cakap, "ina tak yah pergi la. pegi nanti, tidur jugak dalam keta."

"tak. ina tak nak tidur."

***

'tengok. kakak dah tahulah, tabiat layyina kalau duduk lama-lama dalam kereta.' katanya dalam hati.

seat belt ditarik, dipakai semula. lampu isyarat bertukar hijau. gear ditukar, sebelum kaki menekan pedal minyak.



p/s:

kadang jujur dan 'innocent' dia
boleh datangkan segala rasa
marah, lucu, sentap ..

tapi yang pasti, memang akan rindu keletah budak kecik ni, bila dah berpisah nanti.

dan.
sedar atau tak,
segala tingkah kita,
dia akan ambil buat corak dalam kanvas dia.
dan corak itu,
yang akan bentuk peribadi dia.
*ok. seram.

Wednesday 15 January 2014

cahaya .


dalam gelap pekat langit malam,
aku tertangkap satu kerlipan bintang.
megah bersinar.
terang.

Tuhan.
bagi kelam suram sekeping hati ini.
masihkah ada cahaya yang bisa menyinari ??


#catatan malam.140114.


Baca .




baca.

walau cuma bait-bait bisu.
tapi mampu memeluk kalbu.
erat.
menyentuh nurani.
dalam.
menyuluh rohani.
terang.
memimpin hati.
kembali.

ada apa pada 'baca' ??
itu semua.

aku jadi kagum pada bait susunan kata.
pada sang pengarang yang menyusun bicara,
lewat tulisan yang menjadi biasan isi hati yang dalam.
dan utama.
pada Tuhan yang mengilhamkan.

tulisan itu punya kuasa luar biasa.
kerna itu, Tuhan seru 'baca'.

:)


150114

Thursday 9 January 2014

Keampunan Allah itu, infinity.




"aku buat lagi dosa yang aku dah janji dengan Dia, aku tak nak buat dah." pandangannya redup memandang langit.

" kau suka tengok langit, kan?? "

" suka. lawa. " bibir mengukir senyum kelat.

" dalam banyak-banyak kali kau tengok langit, kau pernah nampak tak, dia punya penghujung ?? "

" tak. "

" macam tulah keampunan Allah. Takde penghujung. Takde akhir. Infinity. "

" ... "

" aku pernah dengar Ustaz Pahrol kata,, 'Allah tak pernah putus asa terhadap hambaNya. tapi hamba lah yang sering putus asa.' "

" ... "

" jangan putus asa dalam taubat. biar syaitan yang putus asa dalam menghasut kita agar putus asa. "

:')

Saturday 4 January 2014

Jatuh.



















Tiap kali aku bangkit dari jatuh,
aku punya rasa takut.
takut akan jatuh lagi.

Tapi,
itu tak boleh jadi sebab untuk aku berhenti.
kerana kehidupan sentiasa bergerak. tanpa henti.

Aku perlu terus bangkit.
membina diri.

Jatuh itu biasa.
Lumrah dalam membina peribadi.

Teruskan.
Jangan berhenti.
Andai jatuh,
Bangkit lagi.

yosh!!

#010114