Wednesday 12 July 2017

Sebelumnya ..

Bismillah

"Dan barangkali satu-satunya orang yang bersedia memperjuangkanmu dengan sungguh-sungguh dan tiada henti adalah dirimu sendiri." -Kurniawan Gunadi

_______________

Kita sering berharap agar orang-orang mampu menerima kita seadanya, mampu melihat kelebihan kita dan mensyukurinya, mampu menerima kelemahan sebagai satu lumrah insani bukan satu kekurangan yang menjelekkan.

Tapi kadang kita lupa satu perkara ..
Bahawa sebelum mengharapkan orang-orang begitu hadir dalam hidup kita, kitalah yang terlebih dahulu perlu menerima diri kita apa adanya.

Mensyukuri kelebihan-kelebihan yang dikurnia Tuhan pada diri dan jiwa kita ini.
Menerima dengan lapang dada, redha bahkan bahagia dengan kelemahan-kelemahan insani yang ada pada diri kita ini (tanpa menidakkan usaha-usaha mengatasi kekurangan-kekurangan ini semampunya).
.
.
Sebelum mencinta dan berharap dicintai,
kitalah yang mula-mula perlu mencintai diri sendiri.

Sebelum berharap agar diterima apa adanya seikhlasnya,
Kitalah yang mula-mula perlu ikhlas menjadi diri sendiri.

Sebelum berharap agar difahami,
Kitalah yang harus memahami diri sendiri.
.
.
Kira-kira, sebahagian perjalanan hidup ialah perjalanan mencari dan membentuk diri. Dan perjalanan itu akan menemui jalan dan maknanya, hanya bila seorang hamba itu mencari dan menghubungkan dirinya dengan Penciptanya dalam setiap langkahnya.

Hanya hamba yang mengenal Tuhannya dan mengenal kedudukannya sebagai hamba, yang akan memahami hakikat kehidupan dan peranannya di bumi.

Dia tahu meletakkan diri dalam setiap keadaan -- baik senang mahupun susah.

Dia sedar bahawa tiap apa yang berlaku adalah rencana bijaksana Tuhannya, bahawa apa yang dilaluinya adalah acuan-acuan yang akan membentuk dirinya menjadi sebagaimana yang dikehendaki Tuhannya.

Seseorang akan mengenal dirinya hanya bila dia mula mengenal Penciptanya.
.
.
P/s : tafakkur lewat malam saat mata hilang kantuknya. Entah penangan terjaga selepas lelap, atau penangan 'Surat-surat dari Maninjau' yang menemani sebelumnya.

  0153
130717