Sunday 2 December 2018

bismillah.



Berbuat baik bukan untuk merasa telah menjadi baik.
Berubah menjadi baik bukan untuk merasa lebih baik dari orang lain.

merasa diri lebih baik atau kurang dari orang lain adalah satu perasaan yang tak seharusnya ada.
kerana nyatanya, hidup bukan satu perlumbaan antara kita dengan orang lain.
sebaliknya ia adalah usaha menjadi lebih baik dari diri kita yang kelmarin.



jangan pernah lelah dengan usaha memperbaik diri sendiri.
belajar dari setiap ketergelinciran, 
minta perlindungan agar dijauhkan dari lintasan hati yang tak sepatutnya 
dan dari syaitan yang tak pernah putus asa menjauhkan dan memusnahkan kebaikan, 
berdoa dan terus berusaha.

kerana hidup adalah perjuangan
Terutamanya berjuang dengan diri sendiri.



"Lessons in life will be repeated until they are learned"


Lesson of the Day,
2 Dis 2018.


Taqwa 
 0149  
031218



Thursday 12 July 2018

Di Hujung Waktu

Bismillah.



Di hujung waktu, ada rasa yang ragu
Di hujung waktu, tetap ada rasa mahu menunggu
Di hujung waktu, aku masih bersimpuh menanti jawapanMu

Dan di setiap waktu,
aku pasrahkan segalanya kepada Tuhanku
Dan di setiap waktu,
aku mengharapkan kebaikan tertinggi buat aku dan kamu.


Fi hifzillah

Monday 30 April 2018

Hakikat Pencarian

Bismillah.


Ke sana ke mari mencari
-- pada lenggok bahasa, pada alunan bunyi, pada semerbak kopi, pada sejuk hujan, pada sempurna dalam celanya manusia, pada indah menipunya dunia ..

Dan akhirnya,
Aku tetap jatuh terduduk, tertunduk, tergugu di hadapanMu.

'Mengapa jauh benar aku mencari, mencipta lelah dalam perjalanan yang sedia panjang, sedang dari mula, aku punya jawapan?'

.
.

Mungkin bukan jawapan untuk segala persoalan dan permasalahan.
Tapi sedia maklum tentang mengapa diciptakan.
Mengapa dilahirkan di bumi sejak pertama kali.
Mengapa hidup memang disulami ujian.

Tuhan menghantarkan ujian, buat mengukuhkan tujuan.
Malanglah bila terkabur lemah di hadapan ujian hingga lupa pada tujuan.

.
.

Bagaimanapun juga lenggok dunia menguji,
Bagaimanapun juga paluan ujian menghentam,

Bagaimanapun juga hati sesak menahan,
Bagaimanapun juga bahu lebam memikul,

-- Tetaplah bertahan.

Tuhan Ada.
Selalu Ada.


-300418-


Tuesday 12 September 2017

Rahsia

Bismillah


'Puzzle' takdir ini sedang tercantum
Membentuk gambaran yang semakin jelas

Sampai masanya,
Kita akan mampu melihat keindahannya
Melihat lekuk dan bucu yang saling tercantum
melengkapi satu sama lain
Menjawab kosong lompong persoalan kita hari ini

Biiznillah.

___________

Bahawa setiap kekurangan dan kelebihan adalah pemberian Tuhan
Dan Dia menjadikan itu pun sebagai penarik dan penolak kita ke arah takdir kita seterusnya

Benarlah, Dia mengenal kita lebih dari kita sendiri
Ujian, takdir, galur kejadian ditulis khusus untuk setiap kita

Syukur, sabar.

___________

Ada yang mengagumimu dalam diam
Dan kamu sering merasakan dirimu tak pernah punya apa-apa

___________

Ada yang mengagumimu dalam diam
Dan dibaliknya ada Tuhan yang menjaga aibmu dari ketahuan orang

___________

Kita tak layak berbangga
Segala yang kita punya
Hanya kerana kasih sayang Dia.
___________

Maka atas segalanya,
Terima kasih, Tuhan.

:)

.
.

P/s : baru hari ini dapat mengagak mesej di balik 'Surat-surat dari Maninjau'



 0030
130917

Tuesday 22 August 2017

Suatu Hari Nanti

bismillah.



Percayalah bahawa ..

Suatu hari nanti,
kita akan memahami mengapa kita perlu menjalani semua ini hari ini

Suatu hari nanti,
kita akan mensyukuri setiap liku perjalanan yang kita keluhkan hari ini

percayalah bahawa,
jika takdir ini dibentangkan menjadi pilihan-pilihan bersama kesan-kesan untuk setiap satunya,
kita tetap akan memilih takdir ini akhirnya. 
kerana takdir ini ialah takdir terbaik yang telah Tuhan pilihkan dengan penuh saksama dan bijaksana.


_______________________________________


p/s : maafkan tema penulisan yang hampir selalu sama -- ujian. kerana hakikatnya, yang menulis cuma terbiasa menulis untuk diri sendiri. menasihati diri sendiri, menegur diri sendiri. dan dia terbiasa cuba mengubati diri sendiri dengan patah-patah kata, antaranya.
.
.
mohon doanya :)


  0202,
230817

Wednesday 12 July 2017

Sebelumnya ..

Bismillah

"Dan barangkali satu-satunya orang yang bersedia memperjuangkanmu dengan sungguh-sungguh dan tiada henti adalah dirimu sendiri." -Kurniawan Gunadi

_______________

Kita sering berharap agar orang-orang mampu menerima kita seadanya, mampu melihat kelebihan kita dan mensyukurinya, mampu menerima kelemahan sebagai satu lumrah insani bukan satu kekurangan yang menjelekkan.

Tapi kadang kita lupa satu perkara ..
Bahawa sebelum mengharapkan orang-orang begitu hadir dalam hidup kita, kitalah yang terlebih dahulu perlu menerima diri kita apa adanya.

Mensyukuri kelebihan-kelebihan yang dikurnia Tuhan pada diri dan jiwa kita ini.
Menerima dengan lapang dada, redha bahkan bahagia dengan kelemahan-kelemahan insani yang ada pada diri kita ini (tanpa menidakkan usaha-usaha mengatasi kekurangan-kekurangan ini semampunya).
.
.
Sebelum mencinta dan berharap dicintai,
kitalah yang mula-mula perlu mencintai diri sendiri.

Sebelum berharap agar diterima apa adanya seikhlasnya,
Kitalah yang mula-mula perlu ikhlas menjadi diri sendiri.

Sebelum berharap agar difahami,
Kitalah yang harus memahami diri sendiri.
.
.
Kira-kira, sebahagian perjalanan hidup ialah perjalanan mencari dan membentuk diri. Dan perjalanan itu akan menemui jalan dan maknanya, hanya bila seorang hamba itu mencari dan menghubungkan dirinya dengan Penciptanya dalam setiap langkahnya.

Hanya hamba yang mengenal Tuhannya dan mengenal kedudukannya sebagai hamba, yang akan memahami hakikat kehidupan dan peranannya di bumi.

Dia tahu meletakkan diri dalam setiap keadaan -- baik senang mahupun susah.

Dia sedar bahawa tiap apa yang berlaku adalah rencana bijaksana Tuhannya, bahawa apa yang dilaluinya adalah acuan-acuan yang akan membentuk dirinya menjadi sebagaimana yang dikehendaki Tuhannya.

Seseorang akan mengenal dirinya hanya bila dia mula mengenal Penciptanya.
.
.
P/s : tafakkur lewat malam saat mata hilang kantuknya. Entah penangan terjaga selepas lelap, atau penangan 'Surat-surat dari Maninjau' yang menemani sebelumnya.

  0153
130717

Tuesday 16 May 2017

Jangan berhenti berjuang

Bismillah.

Jalan menuju kebaikan itu memang sukar. Memilih kebaikan sedang keburukan dan kejahilan mengerumuni. Bertarung melawan arus dunia dan kehendak.

Dan saatnya menang memilih kebaikan, berjuang pula dengan hati sendiri tentang mengapa dia melakukan itu, ke mana ditujukannya amal itu. Kadang menang, ditujukannya kepada Tuhannya. Kadang tanpa sedar, dihendaknya tujuan-tujuan dunia dan manusia dari perbuatannya.

Menjaga hati itu memang tak mudah.
Menjaga tunduknya saat menang dan terasa aman dari godaan.
Mencari tegaknya saat dirinya jatuh dan merasa tiada lagi harapan.

Perjalanan hati ini memang sukar. Menapak satu langkah, nanti terjatuh dua langkah, menapak lagi, jatuh lagi lagi dan lagi.

Hingga ada saatnya hati merasa tak lagi bermotivasi meneruskan perjalanan, lantaran banyaknya jatuh dan gagal.

Kalaulah jiwa kita memang lagi lemah semangat begini, mohon dicarikan semangatnya. Kerana itu memang lumrah kehidupan. Lumrah manusia yang penuh kelemahan.

Jangan putus asa. Tuhan dengan pandangan rahmatNya sentiasa memperhatikan jatuh bangunmu. Dia mahu melihat sejauh mana kita berusaha memperbaiki diri, sejauh mana kita bersangka baik bahawa keampunanNya tak pernah punya batas. Sungguh, Tuhan terlalu amat sayang pada hambaNya.

Maka demi Dia yang selalu menjagamu,
Demi Dia yang selalu menyayangimu,
Demi syurga yang Dia sediakan buat orang yang sudi berjuang,
Mahukah kamu bersabar dan meneruskan perjuangan?

Teruslah menyucikan hati dengan sabar,
Menapak satu persatu anak tangga kebaikan,
Kalau jatuh, bangkit lagi lagi dan lagi.

Kita mungkin tak mampu menjadi panglima yang selalu menang dalam pertarungan,
Tapi jadilah seorang tentera yang tak putus asa berjuang, yang tak lari dari medan perang,
yang kembali pada Tuhannya dalam keadaan calar balar penuh luka 'jatuh', tanda berjuang.

.
.

Tuhan,
Ampunilah kami hambaMu yang penuh dosa dan kelemahan.
Pimpinkan agar dalam sakitnya jatuh bangun, gelapnya jalan lantaran dosa dan noda, kami masih menujuMu.

160517